Mana Patriotisme?

by Zuhdi Zuki on January 08, 2021

Pada setiap Ogos, negara akan menyambut Hari Kemerdekaan dan yang ke-63 tahun ini. Namun menyedihkan kerana masih ada rakyat Malaysia tidak peka dengan nilai Jalur Gemilang yang harus diberikan penghormatan tertinggi.

Tindakan segelintir pemilik premis mahupun kediaman yang dilihat masih mengibarkan Jalur Gemilang yang koyak, lusuh, warna pudar, terbalik atau seumpamanya tidak wajar berlaku.

Kesilapan seumpama itu mencerminkan satu bentuk penghinaan dan tidak menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang kebesaran negara, malah lebih malang lagi tindakan sedemikian menunjukkan sisi negatif Malaysia kepada generasi muda, pelancong dan warga asing yang menetap di negara ini.

Mengulas perkara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, perbuatan kerap berulang ini perlu dihentikan dengan mewujudkan undang-undang mahupun peraturan khusus Jalur Gemilang.

Katanya, pihak berkuasa, terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih proaktif dengan memantau termasuk menurunkan semua Jalur Gemilang yang tidak sesuai mahupun mencacatkan pemandangan di kawasan masing-masing.

-advertisement-

Jika tidak, wujud golongan sekadar melepaskan batuk di tangga mengibarkan Jalur Gemilang tanpa sebarang pengertian, sebaliknya sekadar melakukan perkara itu atas dasar arahan atau surat pekeliling daripada PBT semata-mata.Beliau bimbang, jika perbuatan itu dibiarkan berleluasa dan tidak dibendung, ia boleh menjadi punca ketegangan serta perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau melihat mereka yang sanggup mengibarkan Jalur Gemilang koyak, lusuh dan seumpamanya sebagai golongan yang tidak peka serta tidak mempunyai keterikatan dan semangat patriotik kuat dan tinggi selain tidak berbangga terhadap negara.

"Kita boleh lihat perbandingan, contohnya, jika pakaian lusuh dan koyak sudah pasti kita tidak mahu tampilkan diri dalam keadaan buruk. Dalam aspek Jalur Gemilang, kenapa kita tidak peduli dan tidak sensitif,"" katanya. Menurut beliau juga, semangat nasionalisme dan cintakan negara mesti dipupuk dalam jiwa rakyat Malaysia. "Kita boleh mulakannya dengan melakukan perkara mudah iaitu menghormati Jalur Gemilang,"" katanya."

LEAVE A COMMENT
BACK TO TOP