Kepentingan Perancangan Kewangan

by Zuhdi Zuki on October 09, 2021

Ramai orang menganggap perancangan kewangan adalah sesuatu yang membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan. Bayangkan sahajalah jikalau hidup sentiasa mahu berjimat, sudah tentu banyak aktiviti menarik dan menyeronokkan perlu kita korbankan, bukankah begitu?

Namun, cuba anda fikirkan sejenak. Mungkin ada cara lain di mana anda berjimat, tapi pada masa yang sama anda masih boleh memperuntukkan wang yang secukupnya untuk keluar dengan rakan-rakan dan bersuka ria. Jika anda dapat mengawal perancangan kewangan anda dengan baik, maka tidak mustahillah untuk anda berseronok pada masa akan datang!

Dengan melakukan pengurusan kewangan, anda mampu untuk mengelakkan perbelanjaan yang berlebihan, hutang piutang yang tidak terurus jaminannya, kebankrapan ataupun kebergantungan kepada orang lain. Selain itu, anda juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang terdekat seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja. Hal ini kerana anda berasa gembira dengan kecukupan kewangan anda untuk menjalani kehidupan anda dan tidak perlu pinjam-meminjam wang daripada orang lain.

Tambahan pula, anda tidak perlu bersusah payah untuk bimbang dengan kewangan anda kerana anda sudahpun merancang apa yang perlu diketepikan untuk masa hadapan. Tidak lupa juga anda mampu menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup di samping menjadi lebih efektif dalam mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan anda sepanjang hayat. Ia bukan hanya bagi diri anda malah bagi mereka yang tersayang.

Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda akan lebih berhati–hati berkenaan dengan perbelanjaan dan keperluan masa hadapan dengan menggunakan sumber yang sedia ada secara berhemah. Anda juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya. Hebat bukan?

 

Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perancangan kewangan?

Mengikut definisi buku, perancangan kewangan merupakan satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapannya dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.

Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan untuk mereka. Melalui perancangan kewangan juga, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa akan datang.

Tapi lazimnya, rakyat Malaysia masih belum diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Kita harus akui bahawa dalam pendidikan formal di Malaysia, walaupun ada diselitkan beberapa konteks mengenai subjek tentang kewangan peribadi tetapi masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Kesannya, masyarakat di negara ini akan ramai mengalami masalah kewangan walaupun telah bekerja lebih lama. Hal ini berkait rapat dengan pengurusan perbelanjaan mereka dan hutang yang dibuat sedangkan separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Maka, perlulah mereka mencontohi nama-nama seperti Warren Buffet (Pemilik AIG Group) dan keluarga Waltons yang masing–masing merupakan antara 10 orang terkaya di dunia. Pada amnya mereka merupakan perancang kewangan yang masyhur dan boleh dijadikan idola dalam merancang kewangan peribadi masing-masing.

Merancang kewangan merupakan satu proses dan strategi perancangan yang perlu dirangka dengan baik. Ia menggunakan sumber kewangan anda untuk mencapai matlamat jangka masa sederhana dan juga panjang. Menerusi perancangan kewangan inilah anda dapat melihat di manakah kedudukan kewangan anda pada masa kini dan menargetkan ke arah yang lebih baik pada masa hadapan, bagaimana untuk mencapainya dan bila sepatutnya bermula?

Amat penting bagi setiap daripada kita untuk membuat perancangan kewangan secepat yang mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana anda berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat mengelakkan anda daripada mengalami krisis kewangan kerana tanpa perancangan yang rapi banyak perkara yang tidak dapat anda lakukan dengan baik.

 

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bersara awal dengan harga barang keperluan seharian semakin lama semakin meningkat. Jika anda tidak menyimpan duit mulai sekarang, maka di kemudian hari nanti bagaimanakah agaknya anda ingin mendapatkannya? Walhal ada yang beranggapan akan mati awal selepas bersara. Ingatlah, ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Kita hanya boleh merancang tapi Tuhan sahajalah yang menentukannya. Oleh itu, jika masih tidak bersedia, cubalah fikir tentang ahli–ahli keluarga yang bakal meneruskan kehidupan mereka walaupun seusai kematian kita. Bagaimanakah persediaan mereka untuk masa- masa akan datang jika tidak ada apa–apa sumber simpanan? Bayangkan, jika anak-anak yang di tinggalkan masih kecil? Jika keadaan terdesak, adakah mereka akan membuat pinjaman daripada individu yang tak bertauliah? Selalunya kita beranggapan, bila hari itu tiba, pandai-pandai lah mereka teruskan kehidupan. Ini amatlah salah!

Tuntasnya, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.

Share via

LEAVE A COMMENT

Please note, comments must be approved before they are published


-advertisement-

BACK TO TOP